Integriti Kewangan

Sistem kewangan Malaysia memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, memudahkan perdagangan dan mengekalkan keyakinan orang ramai. Oleh sebab itu, integriti sistem kewangan perlu dilindungi bagi mencegah penyalahgunaannya untuk pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, pembiayaan percambahan, penipuan dan jenayah kewangan yang lain.

Usaha melindungi integriti kewangan memerlukan langkah dan tindakan yang diselaraskan oleh pihak berkuasa awam, institusi kewangan dan pihak berkepentingan lain untuk mengenal pasti, mencegah dan menangani ancaman tersebut.

Sebagai bank pusat Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) menyumbang kepada usaha negara untuk melindungi integriti kewangan melalui peranannya sebagai pihak berkuasa yang berwibawa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Terhad dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing, Anti-Restricted Activity Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act, AMLA). Dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang, industri kewangan dan rakan antarabangsa, BNM membantu memperkukuh usaha Malaysia dalam menangani jenayah kewangan.

Rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing, AML/CFT/CPF) Malaysia adalah selaras dengan piawaian antarabangsa dan terus diperkukuh bagi menangani risiko yang berubah-ubah serta ancaman baharu.

Rangka kerja integriti kewangan yang kukuh membantu untuk: 

  • Melindungi sistem kewangan daripada penyalahgunaan untuk kegiatan jenayah

  • Menyokong kestabilan kewangan dan daya tahan ekonomi

  • Mengukuhkan keyakinan pelabur dan orang ramai

  • Memudahkan aktiviti perniagaan yang sah dan transaksi rentas sempadan

  • Melindungi kepentingan keselamatan negara

  • Memelihara reputasi Malaysia sebagai pusat kewangan yang dipercayai 


Peranan BNM dalam Memelihara Integriti Kewangan 

BNM melaksanakan tiga fungsi utama dalam rangka kerja integriti kewangan Malaysia, iaitu berkhidmat sebagai Unit Perisikan Kewangan (Financial Intelligence Unit, FIU) negara, menyelia pematuhan terhadap keperluan AML/CFT/CPF oleh institusi pelapor di bawah seliaannya serta menyelaras usaha negara bagi membanteras jenayah kewangan melalui Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (National Coordination Committee to Counter Money Laundering, NCC).

Unit Perisikan Kewangan (FIU) 

Sebagai pihak berkuasa berwibawa di bawah AMLA, BNM bertindak sebagai Unit Perisikan Kewangan Malaysia. FIU menerima dan menganalisis maklumat kewangan termasuk laporan transaksi mencurigakan (suspicious transaction report, STR) yang dikemukakan oleh institusi pelapor untuk mengenal pasti kemungkinan berlakunya jenayah kewangan.

Jika perlu, maklumat perisikan kewangan disalurkan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dalam negeri dan FIU asing bagi membantu siasatan yang melibatkan pengubahan wang haram, penipuan, rasuah, penyeludupan, jenayah terancang dan aktiviti menyalahi undang-undang yang lain.

Ketahui lebih lanjut: Perisikan Kewangan & Keperluan Pelaporan → Portal AMLCFT 

Penyeliaan AML/CFT/CPF 

BNM menyelia institusi kewangan, perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditetapkan (designated non-financial businesses and profession, DNFBP) yang berkaitan di bawah seliaannya untuk memastikan kawalan yang berkesan dilaksanakan bagi mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.

Penyeliaan merangkumi penilaian terhadap kecukupan tadbir urus, pengurusan risiko dan kawalan pematuhan AML/CFT/CPF serta pelaksanaan tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan yang dikenal pasti, jika bersesuaian.

Ketahui lebih lanjut: Keperluan Kawal Selia dan Jangkaan Penyeliaan → Portal AMLCFT 

Penyelarasan Kebangsaan 

BNM mempengerusikan dan bertindak sebagai Sekretariat NCC, iaitu platform kebangsaan Malaysia untuk menyelaras dasar, strategi dan inisiatif AML/CFT/CPF.

NCC menghimpunkan kementerian, agensi penguatkuasaan undang-undang, pihak berkuasa penyeliaan dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan bagi memperkukuh penyelarasan di peringkat kebangsaan serta menyokong pendekatan yang bersepadu terhadap jenayah kewangan.


Rangka Kerja Tadbir Urus 

Rangka kerja integriti kewangan Malaysia disokong oleh perundangan, dasar berasaskan risiko, mekanisme penyelarasan kebangsaan dan piawaian antarabangsa. Rangka kerja ini terus diperkukuh bagi menangani risiko dalam negeri dan rentas sempadan yang sentiasa berubah-ubah. 

Rangka Kerja Perundangan 

Rangka kerja integriti kewangan Malaysia disokong oleh pelbagai undang-undang, termasuk: 

  • Akta Anti-Pengubahan Wang Haram, Anti-Pembiayaan Keganasan, Anti-Pembiayaan Aktiviti Terhad dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) 

  • Akta Bank Negara Malaysia 2009 

  • Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 

  • Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 

  • Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 

BNM turut mengeluarkan dokumen dasar, garis panduan dan instrumen kawal selia lain bagi menyokong pelaksanaan keperluan AML/CFT/CPF oleh institusi pelapor di bawah seliaannya.

Ketahui lebih lanjut: Dokumen Dasar AML/CFT/CPF → Portal AMLCFT 

Pendekatan Berasaskan Risiko 

Malaysia menggunakan pendekatan berasaskan risiko yang memberikan tumpuan dan sumber pada bidang yang mempunyai risiko jenayah kewangan yang lebih tinggi.

Pemahaman tentang risiko merupakan asas kepada usaha yang berkesan dalam menangani pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan. Penilaian risiko pada peringkat kebangsaan dan sektoral membantu pihak berkuasa, penyelia dan institusi pelapor mengenal pasti ancaman dan kelemahan, sekali gus membolehkan sumber dan kawalan ditumpukan pada aktiviti dan sektor yang berisiko lebih tinggi.

Pendekatan ini mengambil kira: 

  • Penilaian Risiko Kebangsaan 

  • Penilaian sektoral dan tematik 

  • Pemantauan ancaman yang muncul 

  • Standard dan amalan terbaik antarabangsa 

Keutamaan negara dan bidang tumpuan penyeliaan dikaji semula secara berkala bagi menangani risiko jenayah kewangan yang sentiasa berubah-ubah.

Ketahui lebih lanjut: Penilaian Risiko Kebangsaan dan Penilaian Risiko Lain

Penyelarasan dan Kerjasama Kebangsaan 

Usaha Malaysia dalam menangani jenayah kewangan melibatkan kerjasama antara semua anggota NCC yang terdiri daripada kementerian dan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa penyeliaan dan kawal selia, agensi penguatkuasaan undang-

undang serta kementerian yang bertanggungjawab dalam penggubalan dasar. Usaha Malaysia melibatkan kerjasama antara: Bank Negara Malaysia Polis Diraja Malaysia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Lembaga Hasil Dalam Negeri Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Kementerian, pengawal selia dan agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan. Kerjasama ini merangkumi perkongsian maklumat, penilaian risiko, sokongan siasatan dan tindak balas yang diselaraskan untuk menangani ancaman baharu.

Ketahui lebih lanjut: Penyelarasan Domestik – Anti-Pengubahan Wang Haram / Membanteras Pembiayaan Keganasan (AML/CFT)

Piawaian Antarabangsa 

Malaysia menggunakan piawaian antarabangsa yang dibangunkan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (Financial Action Task Force, FATF), iaitu badan penetap piawaian global bagi membanteras pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.

Rangka kerja AML/CFT/CPF Malaysia dinilai melalui Penilaian Bersama FATF yang menilai pematuhan teknikal terhadap piawaian antarabangsa dan keberkesanan pelaksanaan. Penilaian ini membantu mengenal pasti bidang yang boleh dipertingkat serta menyokong penambahbaikan berterusan terhadap rangka kerja AML/CFT/CPF Malaysia.

BNM turut bekerjasama rapat dengan unit perisikan kewangan asing, pihak berkuasa penyeliaan, rakan serantau dan organisasi antarabangsa untuk memudahkan perkongsian maklumat, pembangunan keupayaan dan kerjasama dalam menangani risiko jenayah kewangan rentas sempadan.


Soalan Lazim

Apakah perbezaan antara integriti kewangan dengan kestabilan kewangan?

Integriti kewangan memberikan tumpuan pada pencegahan penyalahgunaan sistem kewangan untuk kegiatan yang menyalahi undang-undang seperti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, pembiayaan percambahan dan jenayah kewangan lain seperti penipuan. Kestabilan kewangan pula memberikan tumpuan pada usaha memastikan sistem kewangan terus berfungsi dengan berkesan dan kekal berdaya tahan terhadap kejutan. Walaupun kedua-duanya berbeza, integriti kewangan dan kestabilan kewangan penting bagi mengekalkan keyakinan terhadap sistem kewangan.

Adakah Bank Negara Malaysia menyiasat jenayah kewangan?

BNM menyumbang kepada pengesanan jenayah kewangan yang berpotensi untuk berlaku melalui fungsi risikan kewangan dan penyeliaannya. Walau bagaimanapun, siasatan jenayah dijalankan oleh pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa penyiasatan yang berkaitan termasuk BNM mengikut mandat undang-undang masing-masing.

Apakah yang dimaksudkan dengan Penilaian Bersama?

Penilaian Bersama ialah penilaian rakan setara yang menganalisis tahap pematuhan sesebuah negara terhadap piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh FATF serta tahap keberkesanan sistem AML/CFT/CPF negara tersebut.

Bagaimanakah jenayah kewangan menjejaskan pengguna dan perniagaan?

Jenayah kewangan boleh mengakibatkan kerugian kewangan, menjejaskan kegiatan perniagaan yang sah dan menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan. Langkah perlindungan yang berkesan membantu mengekalkan persekitaran kewangan yang selamat dan dipercayai oleh pengguna dan perniagaan.

Di manakah institusi pelapor boleh mendapatkan keperluan AML/CFT/CPF yang terperinci?

Keperluan kawal selia, dokumen dasar, kewajipan pelaporan, bahan panduan dan sumber industri yang terperinci boleh didapati melalui Portal AML/CFT di amlcft.bnm.gov.my.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?