Mengenai Kami
Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan bank pusat Malaysia. Matlamat utama BNM adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Mandat dan kuasa BNM diberikan menurut Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan undang-undang lain yang ditadbirnya.
Dalam melaksanakan usaha untuk mendorong kestabilan monetari, BNM merumuskan dan mengendalikan dasar monetari supaya inflasi kekal rendah dan stabil, selain memastikan dasar monetari menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan. BNM juga diberi mandat untuk menggalakkan rejim kadar pertukaran yang selaras dengan asas-asas ekonomi negara.
Bagi menggalakkan kestabilan kewangan, BNM mengawal dan menyelia institusi kewangan bagi memelihara keselamatan dan kekukuhan institusiinstitusi tersebut. BNM mengawasi pasaran wang dan pasaran pertukaran asing untuk mengekalkan integriti pasaran dan memastikannya berfungsi dengan teratur. Sistem pembayaran juga berada di bawah pengawasan BNM agar sistem pembayaran dan instrumen pembayaran kekal selamat, cekap dan diyakini. Selain itu, BNM juga mengawal selia amalan dalam kalangan institusi kewangan dan syarikat perantara yang terlibat bagi menyediakan perlindungan yang sewajarnya kepada pengguna kewangan.
BNM memainkan peranan penting dalam mendorong sistem kewangan yang progresif dan inklusif. Usaha ini dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan ekonomi dan rakyat Malaysia yang berubah-ubah serta peranan utama kewangan dalam kemajuan sosioekonomi negara. Langkah BNM untuk membangunkan dan memperdalam sistem kewangan konvensional dan kewangan Islam dilaksanakan dengan mengakui bahawa sistem kewangan yang lebih maju ialah sistem yang dapat membantu menyerap kejutan, dan seterusnya menyumbang kepada daya tahan negara.
Selain itu, BNM juga melaksanakan beberapa fungsi penting lain. Antaranya ialah pengeluaran mata wang serta pemegangan dan pengurusan rizab antarabangsa negara. BNM juga merupakan penasihat kewangan, jurubank dan ejen kewangan Kerajaan. Bersama-sama dengan agensi kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang lain, BNM memainkan peranan dalam membantu mencegah jenayah penyalahgunaan perkhidmatan kewangan. Di samping itu, BNM telah bertindak balas terhadap risiko iklim. Pertama, melalui pengawalan dan penyeliaan institusi kewangan yang bersesuaian bagi menyokong peralihan yang teratur ke arah ekonomi rendah karbon. Kedua, melalui penerapan amalan kelestarian dalam operasi BNM.
Semua peranan dan tindakan yang diambil oleh BNM ini adalah demi menjaga kepentingan negara.
Logo BNM
Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali, rakyat Malaysia pertama yang menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia, telah mendapat ilham supaya motif Kijang dijadikan sebagai logo rasmi BNM. Motif ini diambil daripada paparan gambar Kijang pada duit syiling emas Negeri Kelantan, iaitu antara duit syiling emas terawal Kesultanan Melayu.
Logo BNM yang memaparkan Kijang, matahari dan anak bulan, dijadikan logo rasmi pada tahun 1964. Matahari melambangkan kuasa manakala anak bulan melambangkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
Logo ini merupakan lambang rasmi BNM dan dilindungi di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414). Di bawah Akta tersebut, penggunaan lambang ini—termasuk sebarang bentuk tiruan yang menyerupainya—bagi tujuan komersial atau profesional adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, logo ini tidak boleh diubah, dipesongkan, atau dihasilkan semula dengan cara yang boleh memberikan gambaran yang salah tentang BNM, atau membayangkan hubungan dengan BNM yang tidak mendapat kebenaran.
Bagi permohonan untuk menggunakan logo BNM, sila hubungi BNMLINK.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.