Kelestarian

Mempersiap Sektor Kewangan Menghadapi Risiko Perubahan Iklim

Risiko dan peluang berkaitan iklim dan alam sekitar semakin mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, kestabilan kewangan serta daya tahan perniagaan dan isi rumah. Perkembangan ini turut memberikan kesan kepada sistem perbankan, sektor insurans dan ekonomi secara keseluruhannya.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil kira pertimbangan berkaitan iklim dalam melaksanakan mandatnya untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan. BNM bekerjasama dengan institusi kewangan, agensi kerajaan dan pertubuhan antarabangsa bagi memperkukuh keupayaan sektor kewangan dalam mengurus risiko berkaitan iklim dan alam sekitar, menyokong peralihan ekonomi yang teratur dan meningkatkan daya tahan jangka panjang.

Agenda iklim BNM memberikan tumpuan kepada penerapan pertimbangan berkaitan iklim dalam dasar, pengukuhan pengurusan risiko iklim dalam sektor kewangan, sokongan terhadap peralihan Malaysia ke arah pelepasan sifar bersih dan penyesuaian terhadap perubahan iklim serta pengukuhan kepimpinan pemikiran di peringkat serantau. Aspek iklim dan kemampanan juga diterapkan dalam budaya dan operasi BNM.


Kepentingan Perubahan Iklim kepada BNM

  • Malaysia semakin kerap berdepan kejadian berkaitan iklim seperti banjir, gelombang haba dan cuaca ekstrem. Kejadian ini telah menjejaskan perniagaan dan isi rumah sehingga menyebabkan kerugian yang besar dan penduduk terpaksa berpindah. Kejadian berkaitan iklim yang semakin kerap dan serius dijangka memberikan kesan yang lebih besar terhadap kestabilan ekonomi dan kewangan.

  • Selaras dengan mandat BNM untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan, BNM memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tahan sistem kewangan terhadap risiko iklim.

Picture1.png

Kesan Risiko Berkaitan Iklim Terhadap Sistem Kewangan

Risiko berkaitan iklim boleh menjejaskan sistem kewangan melalui pelbagai cara.

Risiko berkaitan iklim

Risiko fizikal

  • Kerosakan harta benda, hasil tuaian yang terjejas, produktiviti yang lebih rendah dan gangguan perdagangan akibat kejadian cuaca ekstrem serta perubahan iklim

    • Menjejaskan nilai aset dan kelayakan kredit

Risiko peralihan

  • Kelajuan, kadar dan kaedah penyesuaian ke arah ekonomi rendah karbon (termasuk perubahan dasar, teknologi, keutamaan pengguna atau pelabur serta rakan dagangan)

    • Mengakibatkan aset terjejas nilai¹ (stranded assets) dan keuntungan yang lebih rendah

Risiko liabiliti

  • Pampasan kepada pihak yang mengalami kerugian akibat perubahan iklim

    • Kos pampasan yang lebih tinggi bagi kerugian berkaitan perubahan iklim

  • Kos guaman dan tuntutan yang ditanggung akibat kegagalan untuk mempertimbangkan atau menangani kesan perubahan iklim

    • Litigasi oleh pihak berkepentingan

    • Penguatkuasaan kawal selia

ArrowCTA.svg

Kesan terhadap sistem kewangan

Kerugian kredit dan insurans/perlindungan

  • Kerugian dan kemerosotan nilai pinjaman runcit, kediaman dan korporat:

    • Penurunan nilai hartanah kediaman dan komersial

    • Peningkatan tuntutan atau bayaran manfaat

    • Kekayaan isi rumah dan perniagaan yang lebih rendah

Kerugian pasaran kewangan

  • Keuntungan korporat yang lebih rendah dan peningkatan litigasi boleh mengakibatkan kerugian nilai saksama berikutan penurunan nilai ekuiti, bon dan komoditi.

Kesan timbal balik

  • Penularan kewangan (kerugian pasaran dan pengetatan kredit) yang kembali menjejaskan ekonomi

  • Kemerosotan ekonomi yang lebih meluas (permintaan, produktiviti dan pengeluaran yang lebih rendah) yang seterusnya akan menjejaskan sistem kewangan

1 Aset terjejas nilai merujuk aset yang mengalami penurunan nilai secara tidak dijangka atau lebih awal daripada jangkaan.
Sumber: The Central Banks and Supervisors Networks for Greening the Financial System (NGFS) 1st Comprehensive Report


Perkembangan Inisiatif Iklim BNM

2018

uphill-struggle.svg
Memulakan perjalanan iklim BNM melalui Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation, VBI) bagi bank Islam

2019

growth-circles.svg
Memulakan inisiatif berkaitan iklim bagi sektor kewangan

2020 - 2021

abc-blocks.svg
Membangunkan asas bagi pengurusan risiko iklim yang mantap dan memangkin pembiayaan iklim

2022 - 2023

stairs-to-goal.svg
Memperluas penerapan inisiatif iklim dan kemampanan dalam sektor kewangan serta operasi BNM

2024

green-growth-tablet.svg
Memajukan peralihan sektor benar dan memperkukuh usaha memajukan dasar pada peringkat kebangsaan

2025

classroom-presentation.svg
Menyokong projek berkaitan iklim dan menggalakkan kerjasama dalam pembangunan model pembiayaan inovatif


Video PKS Hijau

Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) merangkumi kira-kira 97% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia. Peralihan PKS kepada amalan yang lebih mampan dan mesra alam penting bagi Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang tahun 2050. Peralihan ini juga dapat membantu PKS untuk kekal berdaya tahan dan berdaya saing pada peringkat global. Kini masanya untuk PKS melakukan perubahan! Ketahui lebih lanjut tentang inisiatif seperti kitar semula, penggunaan tenaga solar dan pensijilan hijau yang berpotensi meningkatkan keuntungan yang lebih dalam jangka panjang.


Keutamaan Strategik

Teras Strategik (TS) strategi BNM berkaitan iklim dan alam sekitar

Climate-Journey-2.png

Kerjasama & Perkongsian

Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim

Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) ditubuhkan pada September 2019 berfungsi sebagai platform kerjasama yang melibatkan pihak berkuasa kawal selia, institusi kewangan dan peserta industri. JC3 dianggotai oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia dan 25 pemain industri kewangan. JC3 turut mempunyai 13 pemerhati yang terdiri daripada persatuan industri, pakar berkaitan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.

Mandat JC3 merangkumi:

  • Membangunkan keupayaan dalam pengurusan risiko iklim

  • Mengenal pasti cabaran dan keutamaan dalam peralihan kepada ekonomi rendah karbon

  • Memudahkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan

  • Menyokong penerapan penyelesaian berkaitan iklim

Layari jc3malaysia.com untuk maklumat lanjut.

Inisiatif Bank Pusat ASEAN

BNM mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif kemampanan di peringkat serantau dan antarabangsa. BNM, bank pusat dan pihak berkuasa monetari ASEAN yang lain (ASEAN central banks and monetary authorities, ACB) merupakan anggota pengasas Lembaga Taksonomi ASEAN (ASEAN Taxonomy Board, ATB). BNM turut menerajui Pasukan Petugas mengenai Peranan ACB dalam Mengurus Risiko Berkaitan Iklim dan Alam Sekitar.

Dokumen utama berkaitan ACB:


Inisiatif BNM

BNM bekerjasama dengan peserta industri, pihak berkuasa kawal selia dan rakan kongsi antarabangsa bagi memperkukuh daya tahan iklim dan menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.


Soalan Lazim

Mengapakah perubahan iklim penting kepada bank pusat?

Risiko berkaitan iklim boleh menjejaskan inflasi, pertumbuhan ekonomi, kestabilan kewangan dan daya tahan institusi kewangan. Pengurusan risiko ini menyokong pelaksanaan mandat BNM yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Adakah BNM mengawal selia dasar iklim?

Tidak. BNM tidak menentukan dasar iklim negara. Peranan BNM adalah untuk memastikan sistem kewangan mengenal pasti, mengurus dan menangani risiko berkaitan iklim dan alam sekitar dengan sewajarnya.

Apakah itu Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip?

Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip ialah rangka kerja pengelasan yang membantu institusi kewangan menilai dan mengkategorikan aktiviti ekonomi berdasarkan kesannya terhadap objektif perubahan iklim dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

Apakah itu JC3?

Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) ialah platform pihak berkuasa kawal selia dan industri untuk menyelaraskan tindakan berkaitan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.

Mengapakah BNM memberikan tumpuan kepada risiko berkaitan alam semula jadi?

Kemerosotan ekosistem alam semula jadi boleh menyebabkan kerugian kewangan dan ekonomi serta memburukkan lagi risiko berkaitan iklim. Pemahaman tentang risiko ini dapat memperkukuh daya tahan sistem kewangan.

Adakah kemampanan hanya melibatkan perubahan iklim?

Tidak. Aspek kemampanan turut merangkumi faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environmental, social and governance, ESG) bagi mewujudkan nilai jangka panjang di samping mengurus risiko dan peluang.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?