Kestabilan Monetari

Bank Negara Malaysia (BNM) diberi mandat untuk menggalakkan kestabilan monetari yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

Sehubungan itu, BNM berusaha untuk melaksanakan dasar monetari yang mengekalkan kadar kenaikan yang rendah dan boleh dijangka dalam paras harga umum barangan dan perkhidmatan, dengan mengambil kira perkembangan ekonomi serta prospeknya.

BNM melaksanakan tanggungjawab dasar monetarinya melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) dengan melaraskan kadar dasar, iaitu Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR). OPR merupakan penunjuk tunggal yang digunakan untuk memberi isyarat mengenai pendirian dasar monetari dan diumumkan menerusi Pernyataan Dasar Monetari (Monetary Policy Statement, MPS) selepas mesyuarat MPC.

Perubahan pada OPR mempengaruhi kegiatan ekonomi dan perubahan paras harga secara keseluruhan, lazimnya menerusi kesannya terhadap kadar faedah dalam ekonomi. Perubahan ini membentuk keputusan perbelanjaan, simpanan dan pelaburan dalam ekonomi. Sebagai contoh, apabila OPR dinaikkan, kadar faedah yang lebih tinggi ke atas simpanan dan pinjaman akan menggalakkan orang ramai untuk menyimpan lebih banyak dan berbelanja lebih sedikit.

Kadar Dasar Semalaman

2.75%

Sejak 5 November 2026

Jawatankuasa Dasar Monetari

21 Januari 2027 (Khamis)

Tarikh Keputusan Seterusnya


Rangka Kerja Perundangan

Akta Bank Negara Malaysia 2009 mengamanahkan BNM dengan tanggungjawab untuk menggalakkan kestabilan monetari. Akta ini juga menetapkan rangka kerja bagi perumusan, pelaksanaan dan komunikasi dasar monetari. Dalam melaksanakan mandat ini, BNM menjalankan dasar monetari dengan objektif utama untuk mengekalkan kestabilan harga, sambil memberikan pertimbangan sewajarnya kepada perkembangan dalam ekonomi.

Bagi mencapai objektif ini, Akta tersebut memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Dasar Monetari, yang bertanggungjawab untuk merumuskan dasar monetari dan dasar bagi pelaksanaan operasi dasar monetari. Akta ini juga membolehkan BNM menjalankan operasi dasar monetari serta menghendaki penerbitan pernyataan dasar monetari, sekali gus menyokong ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pelaksanaan dasar monetari


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 

Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC BNM bertanggungjawab untuk merangka dasar monetari serta dasar bagi pelaksanaan operasi dasar monetari. Akta tersebut juga memperuntukkan pelantikan ahli luar menganggotai MPC. 

MPC dianggotai oleh Gabenor, Timbalan-timbalan Gabenor, dan tidak kurang daripada tiga tetapi tidak lebih daripada tujuh ahli lain, termasuk ahli luar yang dilantik oleh Menteri Kewangan atas syor Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga Pengarah BNM. Keanggotaan MPC bertujuan menghimpunkan kepelbagaian kepakaran dan pengalaman yang penting bagi membuat keputusan yang wajar berhubung dasar monetari.  

Salah satu tanggungjawab utama MPC adalah untuk menentukan tahap kadar faedah dasar yang wajar, iaitu Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang berfungsi sebagai satu-satunya isyarat bagi pendirian dasar monetari BNM. Rangka kerja dasar monetari semasa telah diperkenalkan pada bulan April 2004. 

MPC bermesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun, dengan jadual mesyuarat diterbitkan lebih awal. 

Kenali ahli Jawatankuasa Dasar Monetari

Lihat tarikh mesyuarat MPC dan ketahui bila keputusan dasar monetari diumumkan

Lihat keputusan OPR terkini

Di Sebalik Tabir Perumusan Dasar Monetari Bank Negara Malaysia


Apakah Kadar Dasar Semalaman (OPR)? 

OPR merupakan satu-satunya penunjuk yang digunakan untuk memberi isyarat tentang pendirian dasar monetari. BNM mempengaruhi kadar faedah domestik melalui kadar faedah dasar, iaitu OPR. Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menentukan sama ada OPR berada pada tahap yang wajar untuk mengekalkan kestabilan harga di samping menyokong aktiviti ekonomi. 


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?