Soalan Lazim
Mengemukakan Permohonan kepada BNM
(Seksyen 11 dan 17 FSA)
Nota Penting - Merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen-seksyen berikut:
(1) 8(3) FSA, iaitu mengendalikan sistem pembayaran atau menerbitkan instrumen pembayaran yang ditetapkan tanpa kelulusan daripada BNM. Kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50 juta, penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
(2) 17(3) FSA, iaitu menyediakan perkhidmatan pemerolehan pedagang tanpa mendaftarkan perniagaan tersebut dengan BNM. Kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25 juta, penjara selama tempoh tidak melebihi 8 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Apakah anggaran jangka masa untuk memproses permohonan yang dikemukakan kepada BNM?
Tempoh purata yang dijangkakan bagi BNM untuk memproses sesuatu permohonan adalah dalam masa satu bulan dari tarikh permohonan diterima, dengan syarat maklumat dan dokumentasi yang lengkap disertakan. Walau bagaimanapun, tempoh ini mungkin berbeza-beza, bergantung pada kerumitan kes, ketepatan serta kejelasan maklumat/dokumen yang dikemukakan, dan masa yang diambil oleh pemohon untuk memberikan maklumat/dokumen tambahan sebagaimana yang mungkin diminta oleh BNM.
Bagaimanakah cara untuk saya mengemukakan permohonan?
Permohonan hendaklah dihantar kepada:
Pengarah
Jabatan Pengawasan Perkhidmatan Pembayaran
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
melalui e-mel ke: pdapplication@bnm.gov.my
Pegawai yang bertanggungjawab akan menghubungi pemohon untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Apakah kos yang terlibat dalam proses permohonan?
Pemohon dikehendaki membayar yuran pemprosesan permohonan sebanyak RM500 kepada BNM melalui: (i) RENTAS dengan kod TRN OBT01, nombor akaun 1547010015; atau (ii) Pemindahan dana kepada: Nama Bank: Malayan Banking Berhad, Nombor Akaun: 514150127067, Nama Pemegang Akaun: BANK NEGARA MALAYSIA. Yuran tersebut hendaklah dibayar oleh pemohon dalam tempoh tidak lewat daripada 7 hari bekerja dari tarikh permohonan dikemukakan kepada BNM.
Apakah yang perlu dilakukan oleh pemohon sebelum mengemukakan permohonan kepada BNM?
Pemohon hendaklah menjalankan penilaian kendiri yang sewajarnya (yang mungkin termasuk mendapatkan pendapat undang-undang profesional) bagi menentukan sama ada model perniagaan yang dicadangkan memenuhi definisi pengendalian sistem pembayaran, instrumen pembayaran yang ditetapkan, atau perkhidmatan pemerolehan pedagang, sebelum sebarang permohonan dikemukakan dan bayaran dibuat kepada BNM. Sekiranya terdapat keperluan untuk penjelasan lanjut selepas penilaian kendiri tersebut, sila hubungi BNMLINK sebelum mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan rasmi.
Adakah Bank Negara Malaysia akan memproses permohonan saya sekiranya saya tidak mengemukakan maklumat dan dokumen lengkap seperti yang dikehendaki di bawah Garis Panduan Pengemukaan?
Permohonan hanya akan diproses setelah bayaran pemprosesan sebanyak RM500 diterima serta maklumat dan dokumen dikemukakan dengan lengkap.
Wang Elektronik
Apakah pengeluar wang eletronik fungsi terhad (limited purpose e-money issuer, LP EMI)?
LP EMI ialah pihak yang menerbitkan wang elektronik dengan fungsi terhad, yang memenuhi kriteria sebagaimana ditetapkan dalam Perintah Pengecualian Perkhidmatan Kewangan (Wang Elektronik Tujuan Terhad) 2024 dan Perintah Pengecualian Perkhidmatan Kewangan Islam (Wang Elektronik Tujuan Terhad) 2024. Memandangkan skop aktivitinya yang terhad serta tahap risiko yang dijangka rendah, LP EMI dikecualikan daripada pemakaian perenggan 8(1)(b) dan seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) serta Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Maklumat lanjut mengenai Perintah Pengecualian bagi LP EMI boleh didapati melalui pautan berikut:
Di manakah saya boleh mendapatkan senarai penerbit e-wang yang diluluskan?
Senarai penerbit e-wang yang diluluskan diterbitkan di laman web BNM:
Di manakah saya boleh mendapatkan semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan wang elektronik?
Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) serta semua piawaian dan garis panduan yang berkaitan diterbitkan di laman sesawang BNM:
FSA & IFSA:
Undang-undang & Dasar - Bank Negara Malaysia
Dokumen Dasar E-Wang:
Rangka Kerja Pemindahan Dana Saling Boleh Kendali:
Rangka Kerja Pemindahan Dana Saling Boleh Kendali
Anti-Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Sasaran bagi Institusi Kewangan (AML/CFT dan TFS bagi Institusi Kewangan):
Pengurusan Maklumat Pelanggan dan Pendedahan yang Dibenarkan:
Pengurusan Maklumat Pelanggan dan Pendedahan yang Dibenarkan
Adakah terdapat sebarang sekatan terhadap pemegangan saham oleh pihak asing bagi penerbit e-wang?
FSA tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap pemegangan saham oleh pihak asing. Walau bagaimanapun, perkara ini akan dinilai sewajarnya oleh BNM. Semua pemegang saham hendaklah memenuhi kriteria minimum sebagai individu yang “layak dan sesuai” (fit and proper) pada setiap masa.
Selain itu, entiti tersebut mestilah diperbadankan di dalam negara.
Apakah keperluan modal minimum bagi penerbit wang elektronik?
Keperluan modal bagi penerbit wang elektronik standard dan yang layak dinyatakan dalam Perintah Warta yang boleh didapati melalui pautan berikut:
Perkhidmatan Pemerolehan Pedagang
Di manakah saya boleh mendapatkan senarai pemeroleh pedagang yang berdaftar?
Senarai pemeroleh pedagang berdaftar yang diluluskan diterbitkan di laman web BNM:
Siapakah yang patut memohon untuk menyediakan perkhidmatan pemerolehan pedagang?
Sesebuah syarikat dianggap menyediakan perkhidmatan pemerolehan pedagang jika ia memenuhi kriteria seperti berikut:
memeterai kontrak yang mengakibatkan pemindahan dana kepada pedagang dengan cara:
i. melaksanakan atau bertanggungjawab bagi penyelesaian dana; atau
ii. mengeluarkan arahan penyelesaian dana;
memudah cara penerimaan instrumen pembayaran oleh pedagang; dan
merupakan peserta langsung dalam rangkaian instrumen pembayaran bagi menyediakan perkhidmatan pemerolehan pedagang.
Bagaimanakah syarikat saya boleh memohon untuk menyediakan perkhidmatan pemerolehan pedagang?
Syarat penyerahan permohonan boleh didapati melalui pautan berikut:
Untuk menyediakan perkhidmatan pemerolehan pedagang
Submission Requirements for Application to be Registered to Provide Merchant Acquiring Services.docx
Borang permohonan perkhidmatan pemerolehan pedagang
Di manakah saya boleh mendapatkan semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan perkhidmatan pemerolehan pedagang?
Akta Perkhidmatan Kewangan serta semua peraturan dan garis panduan yang berkaitan diterbitkan di laman web BNM:
FSA & IFSA:
Undang-undang & Dasar - Bank Negara Malaysia
Dokumen Dasar Pemerolehan Pedagang:
Rangka Kerja Pemindahan Dana Saling Boleh Kendali
Adakah terdapat sebarang syarat yang menetapkan bahawa pemeroleh pedagang (merchant acquirer) yang berdaftar mestilah dimiliki sepenuhnya oleh penduduk tempatan/warganegara Malaysia?
Tiada syarat khusus bagi pegangan saham oleh pihak tempatan atau asing. Walau bagaimanapun, perkara ini akan dinilai sewajarnya oleh BNM. Semua pemegang saham hendaklah memenuhi kriteria minimum sebagai individu yang “layak dan wajar” (fit and proper) pada setiap masa.
Selain itu, entiti tersebut mestilah diperbadankan di dalam negara.
Apakah keperluan modal minimum bagi pihak pemeroleh pedagang?
Keperluan modal bagi pemeroleh pedagang yang berdaftar dinyatakan dalam perintah warta yang boleh didapati melalui pautan berikut:
https://lom.agc.gov.my/ilims/upload/portal/akta/outputp/1709187/PUA%20351%20(2021).pdf
Pengendali Sistem Pembayaran
Adakah saya memerlukan kelulusan untuk mengendalikan sistem pembayaran di Malaysia?
Seksyen 11 FSA dan Seksyen 11 IFSA menghendaki pengendali sistem pembayaran untuk mendapatkan kelulusan daripada BNM sebelum boleh memulakan operasinya.
Kelulusan diperlukan bagi pengendalian sesuatu sistem pembayaran (lihat Bahagian 1, Bahagian I, Jadual 1 FSA dan Bahagian I, Jadual 1 IFSA).
Apakah yang dikategorikan sebagai pengendali sistem pembayaran yang memerlukan kelulusan di Malaysia?
i. Pengendali sistem pembayaran membolehkan pemindahan dana daripada satu akaun perbankan ke akaun yang lain, yang merangkumi sebarang pemindahan debit, pemindahan kredit atau arahan tetap, tetapi tidak termasuk pengendalian sistem pengiriman wang yang diluluskan di bawah seksyen 40 Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011; atau
ii. menyediakan pengendalian rangkaian instrumen pembayaran yang membolehkan pembayaran dibuat melalui penggunaan instrumen pembayaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 (a) dan (b) dalam Bahagian 1, Bahagian 1 Jadual 1 FSA.
Anda boleh merujuk pautan berikut untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan contoh:
Permohonan untuk Kelulusan dan Pendaftaran
Bagaimanakah syarikat saya boleh memohon untuk mengendalikan sistem pembayaran? Atau, apakah prosedur/proses/keperluan/pertimbangan/kriteria bagi permohonan sebagai pengendali sistem pembayaran?
Pemohon dikehendaki mengemukakan permohonan kepada BNM berserta surat pengiring dan dokumen/maklumat sebagaimana yang dinyatakan dalam pautan berikut:
Keperluan Penyerahan – Lampiran
Faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dinyatakan secara umum di bawah Jadual 5 Bahagian 1 FSA/IFSA.
Bolehkah entiti asing memohon sebagai pengendali sistem pembayaran?
Tiada keperluan khusus untuk pemerbadanan tempatan mahupun sekatan terhadap pemilikan asing dalam entiti Malaysia tersebut. Walau bagaimanapun, perkara ini akan dinilai sewajarnya oleh BNM.
Di manakah saya boleh mendapatkan senarai pengendali sistem pembayaran yang telah diluluskan?
Senarai pengendali sistem pembayaran yang diluluskan diterbitkan di laman web BNM:
Di manakah saya boleh mendapatkan semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan pengendali sistem pembayaran?
Akta Perkhidmatan Kewangan serta semua peraturan dan garis panduan yang berkaitan diterbitkan di laman web BNM:
Rangka Kerja Pemindahan Dana Saling Boleh Kendali
Dokumen Dasar mengenai Rangka Kerja Pemindahan Dana Saling Beroperasi - Bank Negara Malaysia
Pengurusan Maklumat Pelanggan dan Pendedahan yang Dibenarkan
Dokumen Dasar Pengendali Sistem Pembayaran
Adakah terdapat sebarang jangkaan khusus daripada BNM agar pengendali sistem pembayaran mematuhi amalan terbaik tertentu yang selaras dengan piawaian antarabangsa?
Adalah disyorkan agar sistem pembayaran diselaraskan dengan amalan terbaik antarabangsa, termasuk piawaian berkaitan yang digariskan dalam Prinsip bagi Infrastruktur Pasaran Kewangan (PFMI) yang diterbitkan oleh Jawatankuasa mengenai Pembayaran dan Infrastruktur Pasaran (CPMI).
Perniagaan Perkhidmatan Wang
Di bawah seksyen 4 Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011, menjalankan atau bersubahat dalam perniagaan perkhidmatan wang yang menyalahi undang-undang merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum. Seseorang yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori sehingga 10 tahun serta denda minimum RM50,000 atau sehingga RM5 juta.
Siapa yang boleh memohon lesen perniagaan perkhidmatan wang?
Hanya syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 atau mana-mana undang-undang bertulis terdahulu yang setara boleh memohon lesen. Sebarang permohonan daripada individu, milikan tunggal, atau perkongsian tidak akan dipertimbangkan.
Syarikat saya berminat untuk memohon lesen perniagaan perkhidmatan wang. Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai prosedur, syarat, atau pertimbangan utama bagi kelulusan lesen tersebut?
Untuk memohon lesen perniagaan perkhidmatan wang yang baharu, anda boleh merujuk kepada Soalan Lazim yang diterbitkan di laman web BNM melalui pautan di bawah:
Bagaimanakah saya boleh mengesahkan sama ada sesebuah syarikat perniagaan perkhidmatan wang mempunyai lesen?
Perniagaan perkhidmatan wang yang berlesen hendaklah mempamerkan perkara-perkara berikut di premis mereka:
Lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia; atau
Sijil pelantikan yang dikeluarkan oleh penyedia utama yang berlesen; dan
Logo keahlian Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB)
Senarai syarikat perniagaan perkhidmatan wang yang berlesen dan ejen perniagaan perkhidmatan wang yang diluluskan diterbitkan di laman web BNM. Senarai ini akan dikemas kini secara berkala.
Sila rujuk pautan ini untuk mendapatkan senarai penuh:
Pihak yang dikawal selia sedia ada
Di manakah saya boleh mendapatkan semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan perniagaan perkhidmatan wang?
Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 serta semua peraturan dan garis panduan lain yang berkaitan diterbitkan di laman web BNM.
Sila rujuk pautan di bawah untuk maklumat lanjut:
Perundangan & Garis Panduan
Apakah kelas-kelas lesen perniagaan perkhidmatan wang yang berbeza dan apakah maksudnya?
Sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Perniagaan Perkhidmatan Wang (Pelesenan) 2012, kelas-kelas lesen menunjukkan jenis perniagaan perkhidmatan wang yang dibenarkan untuk dijalankan, seperti berikut:
Kelas Lesen | Type of money service business allowed |
Kelas A | Perniagaan pertukaran mata wang dan perniagaan pengiriman wang sahaja |
Kelas B | Perniagaan kiriman wang sahaja |
Kelas C | Perniagaan pertukaran mata wang sahaja |
Kelas D | Perniagaan mata wang secara borong sahaja |
Adakah terdapat sebarang sekatan terhadap pemilikan saham oleh pihak asing dalam perniagaan perkhidmatan wang di Malaysia?
Tiada syarat khusus mengenai pegangan saham oleh mana-mana syarikat tempatan atau asing; walau bagaimanapun, perkara ini tertakluk kepada penilaian oleh BNM.
Semua pemegang saham hendaklah memenuhi kriteria minimum sebagai individu yang “sesuai dan wajar” (*fit and proper*). Semua pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang dikehendaki mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM bagi mana-mana pemegang saham utama yang baharu, iaitu pihak yang memegang saham sebanyak 5% atau lebih.
Sila rujuk seksyen 32 MSBA untuk butiran lanjut mengenai pemegang saham dengan mengikuti pautan di bawah:
Perundangan & Garis Panduan
Adakah terdapat sebarang pilihan lain untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa perlu mendapatkan lesen daripada BNM?
Seseorang boleh menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen sekiranya dilantik sebagai ejen perniagaan perkhidmatan wang oleh pemegang lesen utama yang telah diluluskan. Bagi tujuan ini, individu tersebut boleh berurusan secara langsung dengan pemegang lesen sedia ada, khususnya pihak yang telah mendapat kelulusan daripada BNM untuk melantik ejen di bawah seksyen 43 MSBA.
Senarai pemegang lesen utama yang telah diluluskan boleh dilihat melalui pautan di bawah:
Pemegang Lesen & Ejen MSB
Nota:
Pemegang lesen utama mesti mendapatkan kelulusan BNM untuk melantik ejen perniagaan perkhidmatan wang. Secara amnya, pemegang lesen utama akan menyediakan sistem perniagaan perkhidmatan wang, prosedur operasi standard yang berkaitan, serta latihan yang sewajarnya mengenai perniagaan perkhidmatan wang kepada ejen perniagaan perkhidmatan wang yang dilantiknya.
Di manakah saya boleh mengemukakan maklumat atau membuat laporan mengenai perniagaan perkhidmatan wang yang tidak sah?
Anda boleh mengemukakan maklumat atau melaporkan sebarang perniagaan perkhidmatan wang yang menyalahi undang-undang kepada Pusat Perhubungan Pelanggan BNM. Sila rujuk pautan di bawah untuk mendapatkan maklumat perhubungan:
Hubungi Kami
Hab Inovasi Aset Digital (DAIH)
Apakah itu DAIH dan apakah objektif-objektif utamanya?
Ia merupakan platform kerjasama bagi BNM dan pihak industri untuk berinteraksi serta menguji penyelesaian inovatif berkaitan aset digital, yang boleh digunakan dalam senario dunia sebenar demi manfaat ekonomi.
Inisiatif ini melengkapi projek-projek kerjasama sedia ada seperti Project Mawar (CBDC borong), Project Nexus, Project Mandala, dan pemodenan RENTAS, serta platform-platform lain seperti Kumpulan Kerja Industri mengenai Tokenisasi (Industry Working Group on Tokenisation).
Ia juga bertujuan untuk memupuk pengetahuan dan pemahaman secara praktikal mengenai model perniagaan aset digital.
Bagaimanakah DAIH akan memberi manfaat kepada industri ini?
Platform penciptaan bersama secara kolaboratif yang membolehkan pemain industri menguji dan belajar secara langsung bersama BNM serta pihak-pihak lain, di samping meneroka perkongsian yang berdaya maju merentasi ekosistem.
Memperdalam pemahaman tentang model perniagaan yang berdaya maju, pertimbangan-pertimbangan berkaitan, serta pengurusan risiko yang membolehkan mereka melaksanakan inovasi secara bertanggungjawab.
Bagaimanakah DAIH akan memberi manfaat kepada BNM?
Memperkukuh kepercayaan dan inovasi melalui penggalakan inovasi yang bertanggungjawab serta pemahaman yang lebih mendalam tentang cara industri mengurus risiko dan landskap atau pertimbangan kawal selia. Hal ini boleh menjadi input bagi pembangunan dasar dan peraturan pada masa hadapan.
Bagaimanakah ia berbeza daripada Sandbox Pengawalseliaan yang sedia ada?
DAIH mempunyai fokus khusus terhadap kes penggunaan aset digital. Penekanannya adalah pada pengujian penyelesaian inovatif yang berkaitan dengan aset digital.
Selain itu, Hab ini bukan sahaja merangkumi pengujian secara langsung, malah turut merangkumi projek pembuktian konsep (Proof-of-concept) dan projek rintis yang bersifat lebih kepada penerokaan.
Nota: Sekiranya model perniagaan atau aktiviti yang dicadangkan menghadapi halangan kawal selia di bawah peraturan sedia ada, pemohon mungkin akan diarahkan ke Sandbox Pengawalseliaan (persekitaran ujian kawal selia).
Apakah peranan SC dan bagaimanakah ia berbeza daripada Sandbox Pengawalseliaan mereka (yang diumumkan pada November 2024)?
DAIH merupakan inisiatif BNM yang menumpukan kepada kes penggunaan yang berada di bawah bidang kuasa BNM.
BNM bekerjasama rapat dengan SC bagi memastikan pembangunan ekosistem aset digital yang menyeluruh, melalui dialog dan kerjasama yang berterusan.
Di peringkat kebangsaan, BNM dan SC menganggotai Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan, yang menyelaraskan inisiatif-inisiatif berkaitan teknologi rantaian blok (blockchain).
Siapa yang boleh menyertai DAIH?
Institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM, syarikat teknologi kewangan (fintech), dan institusi lain yang diperbadankan di Malaysia, yang mempunyai model perniagaan atau penyelesaian sektor kewangan berkaitan aset digital.
Proses untuk mengemukakan cadangan atau menyertai kes penggunaan di bawah Hab
Permohonan akan diterima dalam tempoh masa yang ditetapkan dan disusun mengikut kohort bertema. Proses serta garis masa yang terperinci sedang dimuktamadkan.
Buat masa ini, pihak yang berminat boleh menghubungi Hab Mata Wang Digital BNM.
Adakah penyertaan akan membawa kepada pengesahan kawal selia atau proses yang dipercepat?
Kemasukan ke dalam Hab atau ke dalam mana-mana kohort/kes penggunaan bukanlah satu pengesahan kawal selia, jaminan untuk ‘tamat program’, mahupun petanda kepada sebarang pindaan kawal selia serta-merta.
Walau bagaimanapun, secara lebih meluas, BNM menjangkakan bahawa hasil dan pengajaran yang diperoleh daripada Hab ini akan membawa kepada perubahan atau dasar-dasar baharu, memandangkan bidang ini masih dalam peringkat perkembangan.
Apakah jenis kes penggunaan yang akan diuji?
Antara kes penggunaan yang sedang dipertimbangkan oleh BNM pada masa ini termasuk mata wang stabil (stablecoin) yang disokong oleh ringgit, pembayaran boleh atur cara, dan pembiayaan rantaian bekalan.
Penerokaan terhadap mata wang stabil berasaskan ringgit merupakan sebahagian daripada usaha BNM untuk mencari aset penyelesaian dalam rantaian (on-chain) yang selamat, dan ini akan melengkapkan penerokaan BNM berkaitan mata wang digital bank pusat (CBDC) serta tokenisasi aset.
Pembayaran boleh atur cara dan pembiayaan rantaian bekalan merupakan bidang berpotensi lain yang mungkin memberikan manfaat ekonomi.
BNM terbuka untuk menerima idea bagi kes penggunaan lain, sekiranya ia menawarkan manfaat yang nyata kepada ekonomi.
Apakah pertimbangan-pertimbangan utama yang akan memandu pemilihan pemain/kes penggunaan?
Kes-kes penggunaan yang akan memajukan pendigitalan, meningkatkan kecekapan bagi pihak-pihak yang terlibat, serta memberi manfaat kepada ekonomi secara lebih meluas.
Kes-kes penggunaan yang mampu menguruskan risiko asas dalam perkhidmatan kewangan dengan berkesan, seperti risiko kredit, penyelesaian, serta risiko AML/CFT.
Bagaimana pula dengan kes penggunaan kripto, terutamanya untuk pelaburan?
Ini bukan fokus Hab tersebut. DAIH akan menumpukan pada kes penggunaan yang berada di bawah bidang kuasa kawal selia BNM (contohnya, pembayaran dan kewangan digital), dan bukan produk pasaran modal (contohnya, aset kripto) yang berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Aset digital merangkumi lebih daripada sekadar aset kripto. Ia termasuk mata wang digital serta aset kewangan dan aset dunia sebenar yang telah ditokenkan.
Bagaimana pula dengan mata wang stabil (stablecoin) berasaskan USD?
Bagi pembayaran dalam ekonomi domestik, BNM terus menggalakkan penggunaan ringgit.
Oleh itu, kes penggunaan di bawah Hab ini hanya terhad kepada perkara yang termasuk dalam skop tersebut (contohnya, pembayaran boleh atur cara dalam ringgit dan mata wang stabil yang disokong oleh ringgit).
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.